Saturday, September 5, 2009

Tugas Pemimpin adalah Memimpin

1. Tugas Pemimpin adalah memimpin

Semasa Laksamana William Frederick Halsey Jr. diangkat memimpin salah satu kapal perang Amerika pada perang Pasifik melawan tentera laut Jepun, beliau telah meminta nasihat daripada seniornya, Laksamana Nimitz. Laksamana Nimitz hanya memberi satu nasihat buat beliau: “There’s one thing you’re expected to do when you’re in command... Command!” . Iaitu hanya satu perkara sahaja yang perlu dibuat apabila kita menjadi pemimpin... pimpin!

Tugas pemimpin adalah memimpin. Jadi beliau harus memiliki jiwa, sikap, mental, jurus-jurus seorang pemimpin. Beliau berkebolehan membawa orang yang dipimpinnya kepada cita-cita dan matlamat bersama yang diidamkan. Seorang pemimpin benar-benar memimpin. Fungsi pemimpin pun bukan sekadar menciptakan pengikut, tapi melahirkan barisan pemimpin pelapis. Keberadaan pemimpin bukan untuk membuat generasi pengikut yang selalu berada dalam bayang-bayangnya.

Diperhatikan lagi, setiap pemimpin cenderung memimpin sebagaimana ia pernah dipimpin. Observasi ini terdengar sederhana, namun memiliki implikasi yang penting. Khususnya terhadap pengembangan kepemimpinan. Jika seorang pemimpin tidak memiliki mentor dengan prinsip, pola, dan perilaku kepemimpinan yang baik, maka kemungkinan besar ia juga tidak akan menjadi pemimpin yang baik.
Kajian telah dibuat bahawa pemimpin dapat memimpin berdasarkan sikap semulajadi yang inheren dalam dirinya, atau program pelatihan kepemimpinan yang beliau ikuti, atau bahkan buku yang beliau baca. Namun kemungkinannya sangat kecil dibanding yang pertama, iaitu kecenderungan memimpin sebagaimana ia pernah dipimpin.
Seorang pemimpin mestilah memimpin dengan berkesan. Sebagai pemimpin beliau mesti bercakap atau melontar idea. Idea pemimpin dinanti oleh pengikut untuk diikuti dan dilaksanakan. Pemimpin yang hebat akan sentiasa bercakap. Jika ia berada di hadapan ia akan menjadi idola untuk dicontohi dan diikuti oleh pengikut. Berada di tengah-tengah kumpulan ia akan membangkitkan semangat. Bila berada di belakang pengikut memberi kekuatan dan dorongan motivasi kepada pengikut.

Tugas pemimpin yang berkesan, beliau mesti menganjurkan mesyuarat. Tujuan mesyuarat ialah untuk menyelaraskan idea di kalangan ahli. Mengalakkan ahli untuk memberi idea semasa mengendalikan mesyuarat dengan cekap dan berkesan. Mesyuarat adalah untuk membuat perancangan dan mengatur strategi.
Membuat keputusan keputusan adalah tugas pemimpin. Pemimpin yang tidak. membuat keputusan adalah pemimpin yang sangat lemah dan menyusahkan pengikut. Keputusan yang dibuat hendaklah tidak menghina atau menjatuhkan orang bawah. Keputusan yang dibuat sama ada ya atau tidak.

Ajaran Islam menekankan ciri-ciri kekuatan fizikal dan spiritual secara bersepadu, akhlak yang mulia, kemahiran, ilmu pengetahuan dan komitmen yang tinggi untuk menjadi seorang pemimpin yang bijak berkomunikasi dan berwibawa dalam sesebuah organisasi. Justeru itu, bahawa individu yang bergelar pemimpin berwibawa itu merupakan seorang insan yang memiliki sifat keistimewaan yang tidak dimiliki oleh orang lain dalam sesuatu kelompok organisasi.

2. Komunikasi Pemimpin

“Kerjasama” adalah perkataan yang seakan nampak ringkas dan mudah tetapi sebenarnya itulah intipati utama yang akan menjamin keserasian antara pemimpin dan yang dipimpin. Sebarang masalah yang melanda, pemimpin dan yang dipimpin perlu bersatu hati untuk sama-sama menyelesaikan masalah. Bukan mementingkan diri sendiri dan mengautkan kepuasan hati untuk menjatuhkan orang lain.

Dalam kepemimpinan komunikasi beliau dengan pengikut adalah amat penting lagi kritikal. Cara berkomunikasi sama ada terang, tepat atau jitu akan memberi kesan kepada kelakuan dan prestasi pengikut.

Komunikasi kepemimpinan ialah kebolehan mempengaruhi pengikut dan melibatkan penggunaan kuasa oleh pemimpin dan penerimaan pengikut. Kebolehan mempengaruhi pengikut berhubung kait dengan memenuhi matlamat organisasi.

Masa kini, pemimpin tidak boleh dilabel lagi sebagai seorang pemimpin yang baik atau tidak baik tetapi trend adalah mengatakan seseorang pemimpin itu berkesan atau tidak dalam memimpin.


3. Matlamat Diri Dan Organisasi

Matlamat merupakan unsur yang dititikberatkan dalam kepemimpinan. Pemimpin yang berkesan harus melibatkan diri dengan matlamat individu dan organisasi. Matlamat ditujukan kepada suatu kedudukan atau keadaan pada masa hadapan yang apabila tercapai akan memberi sumbangan terhadap tercapainya misi sebuah organisasi.
Tetapi manusia, seperti pemimpin dan pengikut juga mempunyai matlamat mereka sendiri. Pemimpin yang berkesan perlu memimpin organisasinya agar matlamat-matlamat organisasinya, dirinya, dan pengikutnya tercapai.

Menurut Islam, pemimpin harus menjadi contoh dan teladan kepada yang
dipimpin. Contoh dan teladan yang perlu ditunjukkan bukan sahaja stail, kaedah, dan strategi berkomunikasi tetapi juga tentang akhlak dan amal ibadat. Menurut Islam lagi, seseorang yang baik dalam komunikasi tetapi kekurangan dalam bidang akhlak dan beramal soleh, belum lagi boleh dianggap sebagai pemimpin yang baik. Malah, Islam meragui kebolehan seseorang boleh menjadi pemimpin yang baik, jika akhlaknya buruk dan amalnya kurang.

Kejayaan ataupun kegagalan sesebuah organisasi itu banyak bergantung pada kewibawaan pemimpinnya dan bagaimana sesebuah organisasi tersebut diarah, diurus, ditadbir dan dikawal selia. Oleh itu, pemimpin mesti mempunyai kewibawaan, kemampuan mengurus, dan memimpin yang unggul, di samping daya motivasi yang tinggi untuk diteladani oleh pengikut-pengikutnya.

Selain itu, pemimpin yang berwibawa merupakan seorang pemimpin yang berilmu dan amat memahami matlamat, hala tuju, pendekatan dan kehendak-kehendak organisasi yang dipimpinnya. Beliau juga mestilah seorang pemimpin yang mampu membuat keputusan selari dengan kehendak dan matlamat organisasi. Ia juga mestilah mampu berkomunikasi dengan baik dan sempurna dengan ahli organisasi yang lain. Seterusnya, pemimpin yang berwibawa mestilah seorang yang mempunyai akhlak yang mulia dan keperibadian (syakhsiyyah) yang unggul.

Pemimpin berperanan untuk mempengaruhi orang bawahannya dalam melaksanakan tugas-tugas yang diberikan demi mencapai matlamat organisasi. Oleh itu, seorang pemimpin perlu mempunyai perancangan yang jelas dalam mengatur dan menyusun ahli-ahli organisasi sesuai dengan kemahiran yang dimiliki masing-masing. Begitu juga, para pemimpin perlu mengetahui dengan mendalam matlamat organisasi, pendekatan yang digunakan dan cara operasinya, supaya pemimpin dapat mengarah hala tuju dan gerak kerja ahli organisasi ke arah pencapaian matlamat yang ditetapkan. Kesemuanya ini merupakan aktiviti yang perlu dilaksanakan oleh seorang pemimpin. Oleh itu, sekiranya seorang pemimpin itu memiliki kemahiran tersebut, ia akan memantapkan lagi kewibawaannya.


PENUTUP

Sebagai rumusannya, kewibawaan merupakan sifat yang dimiliki oleh seseorang pemimpin. Kewibawaan seseorang pemimpin terhasil daripada kemampuan, kelayakan akademik, kecemerlangan kerja dan akhlak yang dimiliki. Hasilnya, kewibawaan menyebabkan seseorang itu dihormati, disegani, disanjungi, dan dipatuhi. Jika seseorang yang berwibawa itu menjadi ketua, keputusan mereka dihormati dan dipatuhi tanpa bantahan. Jelasnya, kewibawaan merupakan sifat istimewa yang semula jadi atau terhasil dari proses-proses tertentu yang seringkali dikaitkan dengan keunggulan, kecemerlangan dan karismatik. Pemimpin berwibawa sama ada dari perspektif ilmu pengurusan atau Islam merupakan seorang yang berkelayakan dari segi kemahiran dan pengetahuan, berkemampuan melaksanakan tanggungjawab. Beliau juga merupakan seorang yang dihormati dan disegani bukan sahaja kerana pangkat, tetapi juga kerana akhlak dan keperibadiannya yang unggul.

Kekuatan kepemimpinan Rasulullah s.a.w. telah berupaya untuk membina
empayar yang luas dan berkait rapat dengan isu-isu kehidupan dan organisasi. Rosabeth Moss Canter, seorang penulis The Change Masters menyatakan untuk mahir dengan cabaran di masa depan, pemimpin harus mahir dengan 3C - Concept; Capability; Communication (konsep, kebolehan, dan komunikasi). Pada 400 tahun lalu, Nabi Muhammad S.A.W. telah pun menggunakan strategi itu. Peribadi dan personaliti beliau menjadi panduan yang berharga dalam kepemimpinan. Seorang pemimpin juga merupakan agen perubahan dan dipenuhi dengan sifat berkorban serta tidak mementingkan diri sendiri.

Oleh yang demikian, dapatlah dirumuskan bahawa Islam menekankan ciri-ciri
kekuatan fizikal dan spiritual secara bersepadu, akhlak yang mulia, kemahiran, ilmu
pengetahuan dan komitmen yang tinggi untuk menjadi seorang pemimpin yang
berwibawa. Justeru itu, bahawa individu yang bergelar pemimpin berwibawa itu
merupakan seorang insan yang memiliki sifat keistimewaan yang tidak dimiliki oleh
orang lain dalam sesuatu kelompok. Kewibawaan yang dimiliki akan membantu
seseorang pemimpin itu dalam memimpin keluarga, masyarakat, dan negara dengan
lebih berkesan dan sempurna. Sebagaimana yang telah ditegaskan, kewibawaan
merupakan satu asas penting yang membolehkan seseorang pemimpin mewujudkan
suasana kerja yang kondusif serta memupuk motivasi ahli-ahli organisasi dalam
melaksanakan amanah yang diberikan.


veni vidi vici

No comments: