Thursday, May 15, 2008

Moral tonggak utama lahir generasi cemerlang

Moral tonggak utama lahir generasi cemerlang

Oleh Ismail Awang
BELIA adalah kumpulan penting dalam masyarakat dan mewakili sebahagian besar penduduk dengan golongan berusia 15 hingga 39 tahun itu merangkumi 41.5 peratus daripada jumlah rakyat negara ini, berdasarkan perangkaan 2005. Dalam tempoh 2006-2010, golongan belia dijangka meningkat pada kadar purata 1.1 peratus setahun, daripada 11.10 juta pada 2005 kepada 11.65 juta pada 2010. Dengan pertambahan ini, adalah dijangkakan lebih banyak cabaran akan dihadapi bagi membolehkan belia memainkan peranan lebih berkesan dalam negara. Ia selaras dengan Dasar Belia Negara, digubal pada 1985 yang menjadi asas untuk pembangunan seimbang dalam bidang ekonomi dan sosial untuk golongan belia.

Tanpa mengetepikan peranan persediaan belia dengan pelbagai peluang ekonomi dan program pembangunan belia seperti latihan kepemimpinan, kemahiran dan keusahawanan, suatu dimensi yang juga penting diberi tumpuan ialah menyediakan belia dengan kekuatan pertahanan diri untuk menghadapi anasir yang boleh merosakkan, dibawa bersama dalam arus pemodenan serta gelombang globalisasi. Dalam usaha negara melahirkan modal insan bertaraf dunia, negara bukan sekadar memerlukan rakyat berpengetahuan, berkemahiran dan inovatif, malah belia juga perlu dilengkapkan dengan etika kerja positif dan nilai kerohanian. Justeru, program pembangunan modal insan untuk belia perlu memberi penekanan kepada aspek etika, moral dan kerohanian. Program berteraskan moral dan etika perlu menjadi asas penting di semua peringkat perancangan dan pelaksanaan program pembangunan untuk belia sebagai melengkapkan pembangunan fizikal.
Menurut laporan Rancangan Malaysia Kesembilan (2006 - 2010), pelbagai masalah sosial membabitkan belia seperti penagihan dadah, sumbang mahram dan rogol menunjukkan peningkatan ketara. Penagih dadah di kalangan belia meningkat daripada 24,940 kes pada 2001 kepada 41,684 kes pada 2005, manakala kes rogol meningkat daripada 662 pada 2001 kepada 919 kes pada 2005. Ini belum lagi mengambil kira masalah sosial lain seperti lumba haram, melepak, kegiatan samseng, vandalisme, keganasan, buli, pengedaran dadah, perzinaan, pelacuran, merokok dan sebagainya. Era ledakan teknologi maklumat terutama perkembangan komputer dan internet mengubah landskap budaya masyarakat. Tanpa mengetepikan kepentingan dan faedahnya, kemunculannya menjadi medan untuk segelintir manusia bagi membuang masa untuk ‘chating’, melayari laman pornografi, menyebarkan khabar angin berunsur fitnah dan sebagainya. Penyalahgunaan internet tambah mengusutkan lagi masalah gejala sosial di kalangan remaja di negara ini. Kerajaan perlu melaksanakan dengan berkesan peraturan dan undang-undang bagi mengawal corak penggunaan `kafe siber’ dan internet.
Ibu bapa perlu mengawasi atau mengawal anak supaya tidak melayari laman pornografi dan bahan bacaan yang boleh merosakkan jiwa dan moral anak. Pendidikan moral bukan saja perlu diajar di sekolah, malah juga di rumah. Barangkali agak mustahil dalam era globalisasi ini untuk menyekat segala pengaruh negatif yang datang dari luar. Namun, dengan pendidikan moral yang berkesan, maka ia akan dapat mendidik anak bagi menghayati nilai murni supaya mereka dapat mengamal, menerima dan membuat keputusan yang bertanggungjawab mengenai pelbagai situasi dalam kehidupan. Pengaruh keluarga adalah faktor yang akan menentukan personaliti belia. Selain faktor pengaruh ibu bapa, masalah personaliti negatif di kalangan belia juga timbul oleh keadaan sekeliling sama ada daripada rakan sebaya, video, televisyen, akhbar dan sebagainya. Namun, disiplin ibu bapa paling dominan yang dikaitkan dengan personaliti belia. Masyarakat perlu bertanggungjawab terhadap masalah moral generasi muda kini. Sikap tidak ambil peduli, tidak saling menasihati dan tidak tegur-menegur atas perkara mungkar menambahkan lagi masalah gejala sosial kini. Kawalan sosial adalah cara digunakan oleh masyarakat untuk mempengaruhi tingkah laku ahlinya supaya mereka mematuhi norma sosial, tradisi dan pola tingkah laku yang penting bagi melicinkan perjalanan masyarakat. Teori kawalan sosial mengandaikan bahawa masyarakat perlu mengawal sifat manusia yang cenderung kepada sifat haiwan. Pembangunan yang sebenar menurut perspektif Islam adalah pembangunan yang menjadikan nilai akhlak dan kerohanian sebagai dasar yang memimpin setiap kegiatan ekonomi, politik dan sosiobudaya manusia. Begitulah juga hendaknya bagi setiap perancangan dan pelaksanaan program bagi membangun belia di negara ini, selaras dengan hasrat negara yang memerlukan modal insan bertaraf dunia bagi mencapai Misi Nasional. Sehubungan itu, penekanan perlu diberi bagi pelaksanaan agenda integriti untuk golongan belia, seperti strategi pelaksanaan dan pelan tindakan untuk pelbagai institusi masyarakat dalam Pelan Integriti Nasional (PIN). Tanpa ketahanan diri yang kukuh, golongan belia akan mudah terdedah kepada pelbagai pengaruh asing dan budaya negatif yang hadir di persekitarannya. Seperti ditegaskan oleh Malik bin Nabi bahawa pengaruh lingkungan yang bersifat kebendaan (konkrit) lebih besar terhadap individu berbanding pengaruh ilmu pengetahuan, himpunan maklumat dan pembelajaran. Malah menurutnya, budaya penyebab utama yang membentuk sahsiah individu. Maka beliau menetapkan moral sebagai tonggak utama dalam melaksanakan pendekatan pendidikan budaya. Pembinaan sahsiah individu tidak akan berjaya tanpa diasaskan atas nilai moral yang kuat, dan kekuatan masyarakat boleh bertambah dan berkurangan, sesuai dengan pengaruh dinamika moralnya. Kemajuan dan kesejahteraan negara pada masa depan sebahagian besarnya bergantung kepada belia kerana mereka adalah aset dan potensi utama untuk membangunkan negara. Bagi memenuhi keperluan itu, pelbagai program dirancangkan yang bertujuan melengkapkan belia dengan pengetahuan dan kemahiran diperlukan untuk membolehkan mereka menghadapi cabaran pembangunan ekonomi, pemodenan dan arus globalisasi kini. Bagi mencapai pembangunan modal insan yang holistik, program pembangunan belia perlu diberi penekanan kepada aspek etika, nilai moral dan kerohanian yang utuh. Penekanan seimbang di antara aspek pembangunan kebendaan dan kerohanian diperlukan bagi mewujudkan kecemerlangan di kalangan belia. Ini selaras dengan tema Hari Belia Negara pada 2008 iaitu ‘Belia Cemerlang Negara Terbilang’.


Penulis ialah Timbalan Ketua Jajahan Kota Bharu, Kelantan

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Rencana/20080514234155/Article/index_html