Caruman KWSP - Bukan harta sepencarian
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
MUNGKIN kita pernah terdengar keluhan golongan isteri bahawa walau sesukar mana menjaga suami yang sakit, apabila berlaku kematian mereka hanya layak mendapat `kepala mayat'.
Ini membawa maksud bahawa balu hanya layak ke atas satu perlapan daripada harta yang ditinggalkan suami apabila ia dibahagi-bahagikan mengikut hukum faraid.
Bagaimanapun, dengan perkembangan undang-undang serta kesedaran wanita tentang hak-hak yang ada, tuntutan harta sepencarian mula meluas bukan sahaja apabila berlaku penceraian tetapi juga kematian.
Malah, mahkamah syariah diberi kuasa yang jelas untuk mendengar dan membicarakan tuntutan tersebut dari mana-mana pasangan Islam yang telah bercerai sebagaimana yang diperuntukan di dalam Enakmen Keluarga Islam yang digubal di negeri-negeri.
Jika harta-harta seperti rumah dan kereta jelas boleh dituntut dengan mengambil kira sumbangan secara langsung atau tidak, namun status wang caruman di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih menimbulkan persoalan.
Walaupun ada sesetengah pihak bertegas bahawa ia adalah harta sepencarian berdasarkan sumbangan secara tidak langsung, namun sehingga kini ia masih tergantung.
Pensyarah di Jabatan Syariah dan Undang-undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Suwaid Tapah berkata, caruman wang KWSP bukan dianggap sebagai harta sepencarian melalui sumbangan secara tidak langsung jika dirujuk kepada konsep asalnya.
Sebaliknya, ia merupakan harta milik peribadi penama dan hanya mereka yang mempunyai hak mutlak ke atasnya wang tersebut.
``Berdasarkan kes-kes yang telah diputuskan di mahkamah syariah, tidak begitu jelas sama ada caruman KWSP sudah diiktiraf sebagai harta sepencarian atau sebaliknya.
``Malah sehingga kini, belum ada fatwa yang jelas mengenainya walau ramai berpendapat ia adalah harta sepencarian,'' katanya semasa menyampaikan ceramah pada Siri Penerangan Undang-undang Islam: Harta Sepencarian dan Wang Simpanan KWSP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Dr. Suwaid, berdasarkan mekanisme dan peraturan Seksyen 51 dan 54 Akta KWSP, tuntutan harta sepencarian berasaskan sumbangan secara tidak langsung tidak berbangkit.
Sehingga kini, hanya satu kes yang diputuskan membabitkan tuntutan tersebut daripada simpanan suami di dalam KWSP.
Katanya, dalam kes Mariam dan Mohamed, Mahkamah Rendah Terengganu telah memerintahkan kepada defendan supaya menyerahkan RM18,000 daripada carumannya kepada plaintif.
Bagaimanapun, perintah tersebut dikeluarkan berasaskan persetujuan kedua-dua belah pihak yang mana penama dengan rela memberikan jumlah tersebut kepada bekas isteri.
``Sehingga kini, memang tidak ada akta sama ada dalam enakmen keluarga Islam mahupun KWSP yang membolehkan pihak ketiga mengeluarkan wang tersebut tanpa kebenaran penama termasuklah mahkamah.
``Cuma jika suami tidak menjelaskan mutaah, hutang, nafkah dan sebagainya dan tiada harta yang lain, maka isteri boleh menuntutnya daripada wang KWSP melalui perintah mahkamah apabila tiba tempoh matang,'' jelasnya.
Bagaimanapun, kata beliau, di mahkamah sivil, tuntutan caruman dalam KWSP dan gratuiti ketika persaraan telah diputuskan sebagai harta perkahwinan.
Pasangan yang berkenaan boleh memohon injunksi bagi menghalang majikan atau agen daripada mengeluarkan sehingga permohonan diselesaikan.
Sementara itu, Timbalan pengurus Bahagian Perancangan Korporat KWSP, Shahril Juraimi pula berkata, pandangan bahawa KWSP adalah harta sepencarian adalah tidak tepat.
Menurutnya maklum balas secara lisan yang diterima daripada Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, simpanan KWSP suami sebagai harta sepencarian tidak boleh dipakai secara menyeluruh, sebaliknya hanya berdasarkan kes-kes tertentu sahaja.
Fatwa yang ada hanya berkaitan ahli meninggal dunia sebagai harta pusaka yang mesti dibahagikan mengikut faraid dan penama KWSP hanya sebagai pentadbir.
Bagaimanapun KWSP tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan keatas penama yang tidak menjalankan tanggungjawab sebagai wasi atau pentadbir tersebut di bawah Akta KWSP.
``Simpanan ahli KWSP yang masih hidup adalah hak mutlak ahli berkenaan dan tidak boleh dipindahkan kepada pihak lain.
``Sama ada orang ketiga atau pihak mahkamah yang memerintahkan, KWSP tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkannya kecuali dengan persetujuan ahli,'' jelasnya.
Bagaimanapun, kata beliau, jika caruman yang dibuat oleh salah satu pasangan dijadikan sebagai harta yang dipertikaikan dan menjadi kes mahkamah sama ada di mahkamah sivil atau syariah, pihak kwsp mempunyai budi bicara menasihati ahli supaya menyempurnakan perintah tersebut sebaik-baik sahaja caruman layak dikeluarkan.
Dengan perkataan lain, perintah mahkamah berkenaan adalah bagi memudahkan pihak KWSP mentagkan caruman kepada penama yang disebut oleh mahkamah berkenaan.
Pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Mohd Rizduan Awang pula berkata, KWSP hanya boleh diiktiraf sebagai harta sepencarian jika ada pindaan yang berkaitan pada Akta KWSp mahu pun Enakmen Keluarga Islam.
Katanya, sehingga kini, akta dan undang-undang KWSP atau pencen yang sedia ada bertentangan dengan tuntutan tersebut.
``Mungkin KWSP boleh diiktiraf sebagai harta sepencarian jika ada fatwa yang berkaitan serta akta KWSP dan Enakmen keluarga Islam dipinda.
``Jika sudah diiktiraf, jangan lupa, suami juga mempunyai hak yang sama ke atas caruman KWSP isteri, bukan hanya isteri ke atas suami jika berlaku penceraian,'' katanya.
Bagaimanapun, secara peribadi, beliau bersetuju dengan pendapat Dr. Suwaid dan Shahril bahawa caruman KWSP bukan harta sepencarian.
Katanya, selain bertentangan dengan akta dan undang-undang yang sedia ada, ia adalah hak seorang pekerja untuk persediaan di hari tua.
``Ia juga bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebab ia dianggap sebagai wasit dan dibahagikan mengikut faraid apabila berlaku kematian
``Malah tidak pernah berlaku di mahkamah syariah yang memutuskan kwsp sebagai harta sepencarian kerana tidak ada dalam enakmen undang-undang syariah,'' jelasnya.
Selain itu, katanya, tujuan asal setiap pekerja diwajibkan mencarumkan wang ke dalam KWSP juga tidak akan tercapai jika ia dianggap sebagai harta sepencarian.
Malah, pelbagai masalah dari segi perlaksanaan akan timbul kerana ia melibatkan perkiraan yang rumit terutama bagi mereka yang berpoligami, caruman terkumpul sebelum berkahwin serta jenis akaun yang boleh digunakan untuk tujuan tersebut.
source:
UM 28/5/2003
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2003&dt=0528&pub=utusan_malaysia&sec=keluarga&pg=ke_05.htm&arc=hive
Wednesday, May 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
A'kum .. wah bashahzes, kemain semangat lagi menulis dalam blog ye, selamat datang kedunia blog, untuk bagi encourage saya tambah sedikit hasil kajian dan pembacaan saya dan orang lain....
Dibawah skim KWSP, pekerja diwajibkan mencarum setiap bulan sebahagian daripada pendapatannya kepada KWSP. Sementara majikannya pula dikehendaki menambah jumlah tersebut dengan kadar tertentu. Kadar caruman semasa yang ditetapkan ialah 11 % bagi caruman pekerja dan 12 % bagi caruman majikan. Caruman yang dibayar setiap bulan dicampur dengan sebarang keuntungan pelaburan yang diperoleh ke atas simpanan tersebut akan menentukan jumlah simpanan atau faedah persaraan yang akan diperolehi pada umur 55 tahun persaraan. Tujuan utama simpanan antara lain ialah menyediakan faedah persaraan kepada pekerja dalam bentuk jaminan kewangan untuk membiayai persaraan dan jika berlaku kematian, simpanan ahli akan digunakan untuk meringankan beban kewangan waris/tanggungan. Sementara jika berlaku hilang upaya, simpanan ahli akan digunakan untuk ahli sendiri atau orang tanggungan dari segi kewangan.
Mengikut amalan kini, simpanan ahli dibahagikan kepada tiga akaun utama iaitu akaun 1 sebanyak 60 % daripada persaraan untuk persaraan (boleh dikeluarkan pada umur 55 tahun. Akaun 2 sebanyak 30 % daripada simpanan bagi pengeluaran umur 50 tahun dan rumah dan Akaun 3 sebanyak 10% daripada simpanan untuk tujuan biaya kesihatan.
Jika ahli meninggal dunia, pihak KWSP telah memperkenalkan sistem penamaan sejak tahun 1952. sistem ini membolehkan penama membuat tuntutan dan pihak pengurusan dapat menguruskan pembayaran dengan cepat dan mudah. Walau bagaimanapun jika ahli tidak membuat penamaan, maka pembahagian simpanan akan dibuat menerusi Surat Probet, Surat Kuasa Mentadbir atau Surat Perintah Pembahagian. Perkembangan terbaru pembahagian simpanan bagi penama ahli yang beragama Islam, penama merupakan wasi atau pentadbir dan bukan pemilik. Penama hendaklah membahagikan simpanan tersebut mengikut hukum faraid setelah menerima simpanan tersebut. Dalam keadaan ini, KWSP tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan keatas penama yang tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai wasi atau pentadbir tersebut di bawah akta KWSP (Akta KWSP 1951 telah diganti dengan Akta KWSP 1991 pada 1 Jun 1991). Malah dalam keadaan lain, terdapat juga ahli yang tidak membuat penamaan orang tanggungan atau warisnya yang mana ini menyebabkan ketidapkuasan hati waris-waris. Penyelesaiannya, jika tiada penamaan dibuat, waris ahli perlu mendapatkan Surat Perintah Pembahagian daripada Pejabat Tanah atau Amanah Raya Berhad tertakluk kepada nilai simpanan tersebut. Biasanya pihak pengurusan KWSP tidak dapat membuat pembahagian simpanan dengan cepat.
Harus difahami bahawa skim KWSP dan Skim Pencen Perkhidmatan Awam (SPPA) juga mempunyai matlamat yang sama. Apa yang berbeza ialah skim KWSP menyediakan perlindungan kewangan kepada pekerja di sektor swasta dan pekerja tidak berpencen sektor awam. SPPA menyediakan perlindungan kewangan kepada pekerja Perkhidmatan Awam yang diletakkan dibawah Skim pencen, faedah persaraan Skim KWSP dibayar secara sekaligus atau secara berperingkat mengikut pilihan ahli pada umur 55 tahun. Faedah persaraan SPPA pula dibayar pada umur 55 tahun dalam bentuk pencen dikira dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan serta jumlah pendapatan bagi tempoh tertentu dan kadar gantiannya ialah 50% daripada gaji terakhir. Seksyen 51 dan 54 Akta KWSP serta peraturan-peraturan yang dipakai merupakan peruntukan penting untuk tujuan caruman dan pengeluaran berdasarkan mekanisme dan peraturan yang ditetapkan maka tuntutan harta sepencarian berasaskan sumbangan secara tidak langsung adalah tidak berbangkit. Ini kerana sebagaimana dijelaskan harta yang disimpan menjadi milik peribadi pencarum. Tegasnya, segi objektif dan tujuan sebagaimana disebutkan adalah untuk kebajikan pencarum di hari tua. Malah jika kakitangan perkhidmatan awam yang memilih persaraan melalui pencen sewaktu persaraan adalah hasil caruman yang dimasukkan dalam Kumpulan Wang Amanah pekerja.
Di Mahkamah Sivil, tuntutan mengenai caruman dalam KWSP dan termasuk gratutiti ketika persaraan telah diputuskan sebagai harta perkahwinan. Pasangan yang berkenaan boleh memohon injunksi bagi menghalang majikannya atau agen daripada mengeluarkannya sehingga permohonon relif ansilarinya diselesailan (Sila rujuk kes Lim Kuen Kuen lwn Hiew Kim fook dan lain-lain [1994] 2 MLJ 693. Hakim dalam kes ini mengikut kes yang dipuruskan di Singapura iaitu kes ong Chin Ngoh lwn Lam Chin Kian [1992] 2 SLR37/97.. Di Mahkamah Syariah pula, sejauh penelitian berdasarkan kes-kes yang diputuskan tidak begitu jelas sama ada caruman dalam KWSP sudah diiktiraf sebagai harta sepencaraian atau sebaliknya dan sehingga kini belum ada fatwa yang jelas mengenainya. Misalnya, dalam kes Mariam dan Mohamed (Perintah bertarikh 16 mac 1997, Rujukan Bil.(7) dlm MRSKT 91-010-2-97; fail BBG.TR(HSPS)37/97) yang diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, mahkamah telah memerintahkan kepada defendan (Mohamad) supaya menyerahkan sebanyak RM18,000.00 daripada jumlah caruman dalam KWSP kepada plaintif (Mariam) dan memerintahkan kepada Pengurus KWSP Negeri Terengganu supaya memasukkan caruman KWSP defendan sejumlah yang tersebut itu daripada jumlah carumannya kepada penama Mariam. Walau bagiamanapun perintah yang dikeluarkan ini adalah berasaskan persetujuan kedua-dua belah pihak.
Sebenarnya jika caruman yang dibuat oleh salah satu pasangan dijadikan sebagai harta yang dipertikaikan dan menjadi kes mahkamah sama ada di Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah, Pihak KWSP mempunyai budi bicara menasihati ahli supaya menyempurnakan perintah tersebut sebaik-baik sahaja caruman itu layak dikeluarkan. Dengan perkataan lain, perintah mahkamah berkenaan adalah bagi memudahkan pihak KWSP mentagkan caruman kepada penama yang disebut dalam perintah berkenaan. Malah oleh kerana caruman simpanan dianggap sebagai harta milik peribadi pihak-pihak yang berkepentingan boleh menggunakan mekanisme tersebut bagi melunaskan pembayaran apa-apa tuntutan yang berbangkit dalam perkahwinan dan perceraian iaitu dalam kaeadaan tertentu misalnya tiada harta lain yang dimiliki seperti mut’ah, hutang, nafkah dan lain-lain perintah yang dibuat oleh mahkamah [(Di Mahkamah Sivil peruntukan tentang tuntutan dan pembahagian harta sepencarian yang digubal kepada Orang Islam dan Bukan Islam adalah hampir sama melalui undang-undang yang berbeza iaitu Akta Undang-undang Pembaharuan (perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164] untuk orang bukan Islam dan Undang-undang keluarga Islam yang digubal di negeri-negeri untuk orang-orang Islam.)].
Antara ulasan lain yang diberikan oleh Profesor Ridzuan Awang (dalam siri penerangan undang-undang Islam di Akademi Pengajian Islam UM. 24 Mei 2003 pembentangan kertas kerja oleh Dr Suwaid Tapah di UM) wang KWSP bukanlah harta sepencarian kerana ia adalah hak pencarum, kebenaran membuat tuntutan akan bertentangan dengan akta Pencen dan KWSP, wang KWSP hanya diberi kepada pencarum semasa umurnya 55 atau 56 tahun dan juga ini bertentangan dengan fatwa tentang penama KWSP yang telah dipersetujui.
....30 Mei 2003, JAKESS Mediators Chamber
14 Mei 2008..update terkini.. setelah sekian lama buat research, memang wujud KWSP dijadikan harta sepencarian tetapi tidak dilaporkan dalam Jurnal Hukum, sebab tiada rayuan dalam kes tersebut, dan saya secara pribadi tetap menyatakan KWSP boleh jadi harta sepencarian, bukan nak oppose pendapat diatas tapi atas dasar keadilan kerana dalam konsep qadha', setiap hujah dalam mahkamah menggunakan isu dan fakta yang bersifat tersendiri, dan pendapat tersebut bukanlah qat'ie sekalipun diputuskan oleh mufti, kerana Hakim tidak terikat dengan fatwa, sekiranya fatwa tersebut adalah merupakan jawapan kepada soalan seseorang, ditangan saya terdapat jawapan daripada pejabat mufti kepada soalan salah seorang ahli waris apabila ditanya adakah wang gratuiti itu dikira sebagai harta sepencarian. Jawapannya tidak
Prinsip, "Ijtihad tidak membatalkan ijtihad yang lain" adalah terpakai sepanjang masa, pendapat orang yang mendengar sendiri kes dihadapannya tidak akan sama dengan kes yang dibuat kajian dan pertimbangan akademik
...kan lagi bagus kalau tuan bashah-zes sendiri bagi personal comment baru ada kick blog nih, pastu buat kelumpuk syariah law bloggers... tn alamkia sbg superior
my 2 cent to ex 2 ringgit man
//aburazeen.blogspot.com/
Thank you abu razeen for the add up.
Post a Comment